Pagar Utama |
Sejarah Sekolah SK Seri Bandan
Pada 4hb Ogos 1948 terbinalah sebuah bangunan
yang tiangnya diperbuat daripada batang pinang dan beratapkan rumbia. Bangunan
ini terbina atas kesedaran penduduk tempatan perihal pentingnya pendidikan di
kalangan anak-anak mereka pada masa itu. Bangunan ini dibina di atas sebidang
tanah yang telah disumbangkan oleh Tuan Hj Abdul Talib bin Abdul Samad yang
pada masa itu memegang jawatan sebagai Ketua Kampung Parit Hj Talib.
Bangunan yang dimaksudkan ialah Sekolah
Kebangsaan Seri Bandan. Di awal penubuhannya, sekolah ini dikenali sebagai
Sekolah Melayu Kampung Jawa Asam Bubuk di mana pada masa itu sekolah ini hanya
mempunyai 4 bilik darjah dan mempunyai
murid seramai 100 orang. Pada masa itu terdapat 4 orang guru. Guru Besar yang
pertama bertugas ialah Encik Ismail bin Hj Ibrahim.
Pada tahun 1951, sekolah ini telah berpindah di
tapak yang ada sekarang di mana kerajaan telah memperuntukkan bahan-bahan
binaan, sementara tenaga pekerjanya adalah terdiri daripada penduduk tempatan.
Sekolah ini kemudiannya dinamakan Sekolah Melayu Seri Bandan di mana nama ini
adalah sempena dengan nama kampung asalnya. Pada masa itu, bangunan sekolah ini
lebih merupakan sebuah bangsal yang hanya mempunyai dinding sekerat dan tidak
berpintu dan bertingkap. Bangunan ini mempunyai 6 bilik darjah. Jumlah murid
pada masa itu ialah 200 orang dan mempunyai 8 orang guru. Pada tahun 1956
sekolah ini bertukar namanya kepada Sekolah Umum Seri Bandan.
Pada tahun 1960, kerajaan telah memperuntukkan
sebuah bangunan yang kekal hingga sekarang ini, di mana bangunan ini mempunyai
4 bilik darjah. Nama Sekolah Umum Seri Bandan telah bertukar kepada Sekolah
Kebangsaan Seri Bandan (SKSB) hingga ke hari ini. Jumlah murid pada masa itu
seramai 300 orang dan jumlah gurunya ialah seramai 12 orang.
Pada tahun 1974, kerajaan telah memperuntukkan
satu blok bangunan 2 tingkat dan sebuah kantin sebagai tambahan kepada bangunan
yang sedia ada. Bangunan 2 tingkat ini mempunyai 4 bilik darjah, pejabat,
perpustakaan dan pusat sumber. Kemudian pada tahun 1991, kerajaan telah membina
sebuah bangunan tambahan di mana bangunan ini digunakan sebagai bilik darjah
prasekolah.
Bermula dari tahun 1948 hingga kini, SKSB telah
ditadbir oleh beberapa orang Guru Besar yang telah banyak menyumbangkan jasa
dan bakti bagi memajukan prestasi sekolah, baik dalam bidang akademik mahupun
kokurikulum. Berbagai pembaharuan dilakukan untuk kemajuan sekolah ini dari
masa ke semasa walaupun sering berlaku pertukaran Guru Besar dan kakitangannya.
Dalam memantapkan lagi kemajuan sekolah ini,
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah ditubuhkan di SKSB. Bakti mereka dalam
membantu sekolah amatlah membanggakan dan dihargai.
Dataran Sekolah |
Bangunan Kelas |
Enrolmen murid SKSB sehingga kini bagi tahun
2017, iaitu seramai 248 orang yang ditempatkan di dalam 11 bilik darjah iaitu
10 bilik (Pendidikan Khas – Tahun 6), 1 bilik prasekolah dan 1 kelas pemulihan.
Tenaga pengajarnya pula seramai 23 orang dibantu seorang kerani, dua orang
pembantu murid (prasekolah dan pendidikan khas), 3 orang pekerja kontrak
kebersihan dan 4 orang pengawal keselamatan.
No comments:
Post a Comment